Followers

Thursday, 26 July 2012

Rukhsah & Azimah

Azimah dan rukhsah adalah antara elemen penting dalam ilmu fiqh. Kerapkali kita berhadapan dengan persoalan kemudahan (taysir) atau pemberatan hukum fiqh dalam pelbagai jenis situasi, tapi kita tidak tahu apakah konsep-konsep yang ada di sebaliknya.

Ada yang keliru dengan memahami rukhsah sebagai tindakan mengambil 'subsidi', atau sengaja ambil mudah dalam hal-hal ibadah dan kewajiban. Di sisi lain, ada pula yang suka mengambil yang mudah-mudah saja dalam perbezaan pandangan fiqh, tanpa melihat kepada penilaian atau tarjih para ulama'. Kesemua ini merupakan kecelaruan pemahaman akibat tidak mempunyai asas pengetahuan tentang rukhsah dan azimah.

Apakah rukhsah dan azimah itu? Dalam kesempatan ini, insyaAllah akan dibincangkan secara asas tentang kedua-dua elemen ini.

Azimah (عزيمة)

Azimah menurut bahasa bermaksud "keinginan yang kuat". Kata kerjanya (fi'il)adalah "azama" (عزم). Kata jamak (plural) bagi azimah ialah "azaa-im" (عزائم). Di dalam Al-Quran, perkataan azmu, iaitu kata akar bagi azimah, disebutkan bagi menunjukkan erti kemahuan yang kuat:

 وَلَقَدْ عَهِدْنَا إِلَى آدَمَ مِنْ قَبْلُ فَنَسِيَ وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْمًا

"Maka ia lupa (akan perintah itu), dan Kami tidak mendapati padanya kemahuan yang kuat (azmu)"
  (Thaha: 115)


Dari segi istilah, ramai ulama' telah memberikan pengertian azimah. Antaranya Imam Al-Ghazali mendefinisi azimah sebagai "sesuatu yang menyebabkan kamu melakukan apa yang diwajibkan Allah". Imam As-Syathibi pula mendefinisikannya sebagai "beberapa hukum umum yang telah ditetapkan sejak awal lagi".

Sheikh Dr Ali Abu Al-Basal meneliti semua definisi di atas termasuk ramai 'ulama lain. Lalu beliau membuat definisi yang lebih jelas tentang azimah, iaitu: "Hukum yang ditetapkan secara umum dari peringkat awal, dan boleh dimansuhkan sekiranya seseorang itu dalam keadaan yang uzur dan tenat".

Dalam erti kata lain, bolehlah difahami menurut bahasa yang lebih mudah, bahawa azimah merupakan perintah asal sesuatu hukum tetapi dibatalkan atau diubah bentuknya disebabkan keadaan darurat. Ia menunjukkan taklifan (bebanan tanggungjawab) untuk orang-orang beriman.

Rukhsah (رخصة)

Pengertian rukhsah bermakna "keringanan". Perkataan asal berbentuk kata kerjanya (fi'il madhi) adalah rakhoso (رخّص) yang bermaksud "telah menurunkan" atau "telah mengurangkan". Orang yang mendapat keringanan disebut sebagai "raakhis" (راخص).

Pengertian rukhsah sangat meluas disebutkan oleh para 'ulama. Imam Al-Ghazali mendefinisikan rukhsah sebagai "sesuatu yang dibolehkan kepada seseorang mukallaf untuk melakukannya kerana uzur". Imam Al-Baidhawi pula mendefinisikan rukhsah sebagai "hukum yang berlaku tidak sesuai dengan dalil yang ada kerana keuzuran".

Sekali lagi kita kembali meninjau penilaian Sheikh Dr. Ali Abu Al-Basal, di mana beliau telah memilih definisi rukhsah Imam Al-Baidhawi sebagai paling tepat. Antara sebab kenapa beliau memilih definisi ini ialah kerana ia membawa maksud yang berlawanan dengan azimah. Ertinya, di mana azimah menyuruh kepada beramal mengikut dalil, rukhsah pula ialah beramal tidak serupa dengan dalil kerana wujudnya kepayahan dalam sesuatu situasi.

Tambah beliau lagi: "Azimah adalah hak Allah ke atas hamba, sedangkan rukhsah adalah hadiah Allah kepada hamba". Sebagai satu kesimpulan, rukhsah bolehlah dikatakan sebagai lawan bagi 'azimah.

Sebab-Sebab Keringanan

Menyimpulkan daripada apa yang disebut oleh Imam Ibnu Nujaim, para ulama telah menetapkan tujuh sebab wujudnya rukhsah:
  1. Bermusafir. Contohnya rukhsah qasar dan jamak solat, menyapu khuf lebih daripada sehari semalam dan sebagainya.
  2. Sakit. Contohnya bolehnya jamak solat kerana sakit, tayammum kerana tidak boleh  terkena air, sakit sehingga atau tidak mampu ke tempat ambil wudhu dan lain-lain.
  3. Lupa. Contohnya puasa tidak batal jika makan atau minum kerana terlupa. Begitu juga orang yang terlupa belum menunaikan solat tidak dihukum berdosa sebaliknya harus segera mengqada solat tersebut.
  4. Kebodohan. Contohnya jika seseorang tidak pasti ada terkeluar angin atau tidak dalam solat, maka solat dan wudhunya belum lagi terbatal.
  5. Kesukaran. Ini termasuklah sukar untuk kekal dalam keadaan suci tetapi jika wajib solat, maka solatnya sah. Contohnya pesakit kencing tidak lawas, haid yang berterusan dan sebagainya.
  6. Paksaan. Contohnya jika terpaksa mengucapkan kalimah kufur, atau minum arak, kerana diugut, maka hal itu tidak mengapa jika hatinya sekeras-kerasnya membenci hal tersebut.
  7. Kekurangan. Contohnya kanak-kanak kecil dan orang gila tidaklah dikira sebagai mukallaf, maka mereka dibebaskan daripada tanggungjawab syari'e seperti solat fardhu, jihad, zakat, haji dan sebagainya.
Jenis-jenis Keringanan dalam Syariat

Keringanan, disebut juga sebagai takhfif selain rukhsah, sekali lagi menurut Ibnu Nujaim, terdiri daripada tujuh jenis:
  1. Menggugurkan (Takhfif isqath), seperti pengguguran kewajiban solat jumaat kepada orang yang sakit kronik.
  2. Mengurangkan (Takhfif tanqish), seperti qasar solat empat rakaat menjadi dua semasa bermusafir, dibolehkan solat setakat yang mampu bagi orang yang sakit dan lain-lain. 
  3. Menggantikan (Takhfif ibdal). Contohnya penukaran wudhu kepada tayammum jika tiada air.
  4. Mendahulukan (Takhfif taqdim), seperti rukhsah jamak taqdim.
  5. Mengakhirkan (Takhfif takhir). Ini termasuklah rukhsah jamak takhir, melewatkan solat 'isyak dan lain-lain.
  6. Meringankan (Takhfif tarkhish), seperti dibolehkan minum arak jika tercekik sesuatu apabila tiada minuman lain di sekelilingnya.
  7. Mengubah (Takhfif taghyir). Contohnya, perubahan bentuk perbuatan solat menjadi lebih ringan semasa peperangan.
Tidak semestinya hanya satu jenis rukhsah diamalkan dalam setiap situasi. Adakalanya, bahkan dalam banyak keadaan, pelbagai jenis rukhsah diamalkan sekaligus selagimana keadaannya membenarkan. Kesemua di atas ini merupakan solusi rukhsah kerana wujudnya elemen-elemen yang membolehkannya, selagimana ianya disahkan oleh Al-Quran, As-Sunnah dan sumber-sumber hukum lain berdasarkan kaedah-kaedah fiqh. 

Rukhsah atau Azimah
Di sini terdapat perbahasan mendalam menurut 'ulama. Apa yang pasti, pemilihan azimah atau rukhsah bergantung kepada keadaan diri seseorang. Azimah dianggap sebagai al-aslu, atau asal bagi hukum. Selagi tidak ada sebab atau 'illah yang mengubah hukumnya, maka ia tetap merupakan azimah. 

Jika wujudnya situasi syari'e yang membolehkan untuk memilih rukhsah, maka barulah rukhsah dibenarkan. Malah dalam sesetengah hal, pemilihan rukhsah bukan sahaja dibenarkan bahkan dianggap lebih utama berbanding azimah kerana adanya contoh daripada Rasulullah s.a.w sendiri.

Contohnya, hukum solat qasar yang dianggap sebagai wajib oleh sesetengah ulama' dan sunnah oleh 'ulama yang lain. Banyak sunnah perbuatan (fi'liyyah) dan perkataan (qauliyyah) yang menunjukkan hal ini. Antaranya, ketika ditanya oleh Umar r.a. tentang solat qasar semasa bermusafir sedangkan keadaannya aman, baginda s.a.w menjawab:

"Solat qasar itu merupakan sedekah yang diberikan Allah s.w.t kepada kalian maka terimalah sedekahNya"
 (HR Muslim dan Nasai'e)

Hal ini bertepatan dengan inspirasi syariat Islami, yang menginginkan kemudahan. Konsep ini juga selari dengan sifatnya yang fleksibel (muruunah). Telah jelas disebut dalam Al-Quran:

"Allah mengkehendaki bagi kamu kemudahan dan tidak mengkehendaki bagi kamu kesulitan" 
 (Al-Baqarah: 185) 

Kini kita jelas bahawa agama ini menginginkan kemudahan dan tidak mungkin adanya kesusahan luar biasa bagi seseorang mukallaf. Jika terjadi juga kesusahan luar biasa, maka ia pasti mendapat keringanan. Ini kerana Allah tidak akan membebani seseorang di luar kemampuannya:

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kemampuannya"  
(Al-Baqarah: 286)

Malah terdapat satu kaedah fiqh yang berbunyi: 
"apabila permasalahan semakin menghimpit, maka hukumnya menjadi luas".
 Ini pernah diucapkan oleh Imam As-Syafi'e sebagai jawapan bagi persoalan tentang adakah bekas yang digunakan untuk membuang sampah boleh digunakan untuk wudhu.

Walau apapun, untuk mengetahui rukhsah, perlulah tahu azimahnya dahulu. Tidak dapat dinafikan semua ini memerlukan ilmu. Bagi setiap azimah yang dipelajari, sewajarnya kita cuba meneroka olahan para ulama fiqh berkenaan rukhsah yang mungkin mengiringinya. Apabila ilmu agama semakin luas, maka pengamalan agama pun terasa semakin lapang. 

Mungkin ada yang cenderung kepada azimah kerana kurangnya ilmu tentang rukhsah. Malah, ada yang sampai menentang rukhsah ibadah kerana akal mereka tidak sependapat, sedangkan agama ini tertegak di atas dalil dan hujah. Islam sama sekali bukan agama yang didirikan berteraskan akal atau falsafah. 

Namun, mungkin ada pula yang hanya mahukan kemudahan walaupun sebab rukhsahnya tiada. Mungkin ada yang cuba memutar-belit situasi dengan helah ingin mendapatkan rukhsah. Kesalahan lain termasuk memilih rukhsah sedangkan ada keraguan dalam sebabnya atau ada unsur kemaksiatan, kerana rukhsah dalam keadaan ini adalah tidak sah. Golongan ini suka memilih yang termudah saja dalam perbezaan pendapat tanpa adanya penilaian yang ilmiah. Jenayah ini dinamakan sebagai tatabbu' ar-rukhas (تتبع الرخاص) dan mesti kita hindari.

Sikap yang benar adalah bersikap adil dalam menghalusi pendapat fiqh. Jika kita sudi meluangkan masa untuk belajar tentangnya, melalui guru-guru bertauliah baik secara langsung ataupun media, ataupun melalui bahan-bahan bacaan ilmiah, insyaAllah pemahaman kita semakin utuh dan tajam. Pada masa yang sama, kita dapat mengembangkan bakat-bakat fiqh (malakah al-fiqhiyyah), sejenis kepintaran yang sangat baik untuk kita semaikan.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...