Ada orang mengatakan alangkah susahnya menjadi perempuan. Banyak benar kekangan, sedari kecil tidak boleh hidup bebas. Pergerakannya diperhatikan orang tua. Gerak gerinya menjadi bualan. Hinggalah ada juga yang memberontak jiwanya, ingin keluar dari kepompong sehinggalah dibuang sifat-sifat kewanitaannya untuk menyamai lelaki. Yang jauh dari itu mempersoalkan taqdir yang telah ditentukan oleh Yang Maha Esa. Lalu ia melanggar naluri dan fitrah seorang wanita.
Wanita perlu pula menutup auratnya dengan sempurna. Maklumlah aurat yang rata-rata difahami hanya sekadar menutup rambut sudah memadai katanya sedangkan ia jauh dari itu. Tutur katanya juga perlulah dijaga agar tidak timbul perasaan jahat di hati lelaki. Hinggalah terbit dari hati "Wahai, sukarnya menjadi seorang wanita"
Rupanya apabila Islam telah menyebarkan sinarnya pada zaman Jahiliyyah yang menzalimi wanita dan anak-anak perempuan maka tinggilah martabat kemuliaan wanita. Sehinggalah di dalam al Quran terdapat surah An Nisa' iaitu surah wanita dan Islam amat menjaga wanita serta ditunjukkan hak-hak yang perlu diberi kepada kaum hawa ini.
Wahai wanita, janganlah hendaknya dirimu dibiarkan rosak oleh kaum Adam yang jahat perangainya, dipergunakan untuk mendapatkan keuntungan. Lihat sahajalah di setiap iklan di dalam media massa, bukan barangan yang menjadi tontonan. Tetapi di sebaliknya wanita yang berada di sisinya, maka larislah barangan disebabkan wanita dipergunakan setiap mahkota yang ada padanya. Alangkah harubirunya dunia ini apabila pemudinya rosak akhlaknya. Bila tiada kekuatan aqidah dan pendidikan agama, walau seorang profesional sekalipun tidaklah lepas dari jatuh ke lembah kehinaan jika tiada cinta kepada ALlah.
Wanita Kebanggaan Islam
Wanita jika yang dibentuk dirinya dengan acuan yang betul, lahirlah serikandi Islam sebagaimana Aisyah radiyaLlahu 'anha, lahirlah anak yang taat kepada ibu dan ayahnya sebagaimana Asma' binti Abu Bakar yang digelar zatun nitaqoin membawa bekal, memanjat sehingga ke pintu gua untuk memberi bekalan kepada 2 orang kekasih ALLah iaitu ayahnya sendiri Saidina Abu Bakar As Siddiq dan junjungan besar Nabi Muhammad SallaLLahu 'alaihi wasallam. Alangkah bahagianya apabila ada pendorong di dalam hidup, pendokong ketika dalam kesusahan dan kesedihan, menjadi teman seperjalanan menemani hayat sebagaimana Ummul Mukminin Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Tentunya menjadi ibu kebanggaan para pencinta Islam sebagaimana Ummu Habibah (gelaran bagi Ramlah binti Abu Sufyan), walau ditimpa ujian bertalu-talu, dipaksa untuk murtad oleh ayahnya ketika ia memeluk Islam. Ditambahi pula dengan karenah suaminya yang telah berpaling dari Islam dengan memeluk agama Kristian, beliau rela berpisah kerana cintanya kepada ALlah melebihi segala-galanya dan tinggilah darjatnya apabila dilamar oleh RasuluLlah untuk menjadi teman hidupnya. Balasan untuk orang yang sabar dan gigih di dalam agama ALlah.
Jika diselusuri sejarah, ramainya tokoh-tokoh wanita Muslimah yang memberi sumbangan besar di dalam dunia Islam. Fatimah binti Sa'ad al Khair al Ansari al Andalusi, lahirnya di China pada tahun 522 Hijrah. Mengajar di Kaherah dan Damsyiq dan ramai tokoh yang mengambil hadith darinya seperti al Hafiz al Munziri. Siti Zubaidah, isteri Khalifah Harun al Rasyid telah membelanjakan sebahagian besar hartanya untuk memperkuatkan kubu pertahanan dan kawasan sempadan. Jasanya dalam menampungi saluran air yang dibina dari Baghdad hinggalah ke Mekah untuk jemaah haji sehinggalah saluran air ini dikenali sebagai "Ain Zubaidah" (Mata Air Zubaidah). Lihatlah perkataannya - apabila dibentangkan kepadanya kos perbelanjaan saluran itu, beliau telah mencampakkan bil perbelanjaan itu ke dalam sungai sambil berkata : "Kami tinggalkan hitungannya untuk Hari Perhitungan". ALLahu... ALlah..
Kitalah Lelaki Itu...
Ada orang mengatakan payahnya menjadi lelaki. Besarnya tanggungjawab yang perlu dipikul untuk meneruskan kehidupan. Maklumlah di zaman ini, besarlah cabaran bagi seorang lelaki yang dipenuhi dengan tribulasinya. Kita diuji dengan penglihatan yang menggoda iman, patutlah ALlah menyuruh kita di dalam firmanNya yang bererti :
" Katakanlah kepada orang2 beriman laki2 agar mereka menundukkan pandangan mata ( terhadap wanita ), dan memelihara akan kemaluan mereka ( menutupya ). Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya."
( An-Nur : 30-31 )
Berapa ramai yang telah kalah di dalam menjaga pandangan dan kemaluannya ?...
Suami diuji dengan isteri, harta, anak-anak. Orang lelaki perlu bekerja mencari rezeki dan bukannya duduk goyang kaki. Orang lelaki perlu kuat pegangan agamanya, tahu menjadi imam, mempunyai daya kepimpinan, membuat keputusan yang betul. Kita tetaplah lelaki untuk meneruskan perjalanan di bumi ALLah ini, tidak mudah mengalah, berusaha untuk menjadi pemimpin yang baik dan memperbaiki diri. Begitulah, hidup orang yang beriman, kesusahan itu sebenarnya adalah hiburan, ujian itu menambahkan cinta kepada ALlah. Kita selusuri kembali dari kacamata sirah siapakah lelaki sejati yang menjadi tauladan umat ini.
Lelaki Sejati Perlu Mencontohi Mereka...
Agungnya akhlaqmu ya RasuluLLah menjadi suri tauladan sepanjang zaman. Tarbiah dan didikanmu kepada para sahabat melahirkan Abu Bakar yang sikapnya lemah lembut tetapi tegas di dalam menjalankan hukum ALLah. Menjadikan Saidina Umar berani di hadapan para kafir Musyrikin serta besar jasa-jasanya dalam menyebarkan dakwah Islam dan diteruskan kegemilangannya oleh Saidina Uthman dan Saidina Ali radiyaLlahu 'anhum. Begitulah seorang dari seorang sahabat yang amat memusuhi Islam akhirnya menjadi panglima Islam yang berani sebagaimana Khalid bin Al Walid. Adakah kesusahan, kesulitan menjadikan mereka cengeng dan berundur dari melaksanakan tugas sebagai hamba ALlah?
Siapakah yang tidak kenal seorang hamba yang berkulit gelap berbangsa Habsyi yang upahnya setiap hari adalah dua genggam kurma. Tetapi putih bersih hatinya, kebal imannya dari dicarik dan dirosakkan oleh ketulan batu yang menghempap dirinya. Beliaulah muazzin ar Rasul (tukang azan RasuluLlah), pelopor kebebasan peribadi walaupun zahirnya diikat sebagai hamba kepada Muawiyah bin Khalaf, namun jiwanya bebas hanya untuk menyembah ALlah sehinggalah ia benar-benar bebas dimerdekakan oleh sahabat yang mulia hatinya iaitu Saidina Abu Bakar radiyaLLahu 'anhu. Lelaki sejati inilah yang berjuang di barisan hadapan di dalam siri-siri peperangan ketika bersama RasuluLLah dan berjaya membunuh Umaiyah bin Khalaf semasa peperangan Badar al Kubra.
Kentalnya jiwa Urwah bin Zubair seorang ahli fiqh yang terbesar. Menurut ceritanya sebelah kakinya mendapat penyakit yang menyebabkan para doktor memutuskan ia perlu dipotong agar tidak merebak sehingga ke betis dan seluruh tubuhnya. Lalu beliau disuruh untuk meminum satu minuman yang boleh menghilangkan kewarasan akalnya supaya dia tidak merasa sakit. Lalu beliau berkata
"Aku tidak mengira, bahawa seorang yang beriman kepada ALlah akan mahu minum sesuatu yang dapat menghilangkan akalnya, sehingga dia tidak mengenal dan ingat la akan Tuhannya. Biarlah kakiku ini dipotong"
Lalu dipotong pada lututnya. Dia diam sahaja, tidak berkata apa dan tidak mengeluh atau merintih barang sedikitpun.
Selanjutnya qadar ALlah telah pun tertulis, untuk menguji iman lelaki sejati ini. Di malam hari kakinya dipotong itu terjatuh pula putera kesayangannya dari tingkat atas rumah lalu meninggal ketika itu juga. Kawan-kawannya pun datang mengucapkan takziah (menyatakan turut rasa duka cita). Urwah bin Zubair mengucapkan :
"Ya ALlah! Pujian untuk Engkau. Anakku tujuh orang, lalu Engkau ambil satu, dan tinggal enam orang. Kaki tanganku ada empat, lalu Engkau ambil satu dan masih tinggal tiga. Kalau Engkau yang memberikan cubaan, sesungguhnya Engkau juga yang menyelamatkan (menyembuhkan)"
ALLahu...ALlah...
Tugas Kita Sebagai HambaNya...
Di antara rasa susah dan payahnya menjadi perempuan dan lelaki. Maka perlu bertanya juga di dalam hati, sudahkah kita mensyukuri nikmat yang ALlah telah beri selama menjadi perempuan dan lelaki? Wanita dan lelaki yang beriman tetaplah perlu bergandingan bantu membantu di dalam perjuangan diri, keluarga dan masyarakat ke jalan ALlah. Mengajak ke arah kebaikan, menegur kemungkaran bukan tugas 'seseorang'. Lupakah kita firmanNya yang bererti :
" Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana ".
(Surah at Taubah : Ayat 71)
Ya saudaraku sekalian, bukan bergandingan bahu membuat maksiat atau penzinaan tetapi bahu membahu di dalam meninggalkan larangan dan mengerjakan taat kepada ALlah..
by : Waznah Alhamraa
No comments:
Post a Comment