Adalah makruh hukumnya berpuasa sepanjang tahun selain dua hari raya dan hari-hari Tasyriq bagi sesiapa yang takut akan kemudaratan atau terabai hak sama ada yang wajib atau yang sunat. Diriwayatkan daripada ‘Atha bahawa Al-‘Abbas, seorang ahli syair mengkhabarkan kepadanya bahawa dia mendengar Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhuma berkata:
Maksudnya: "Telah sampai kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawasanya aku terus menerus berpuasa dan mengerjakan sembahyang malam. Sama ada baginda mengutus seseorang kepadaku (untuk berjumpa baginda) atau aku sendiri yang menemui baginda. Maka baginda bersabda: "Benarkah adanya dikhabarkan bahawa engkau berpuasa dan tidak berbuka dan engkau mengerjakan sembahyanag malam dan tidak tidur? Puasalah sehari dan berbukalah sehari, dan dirikanlah sembahyang malam dan tidurlah, sesungguhnya bagi dua matamu ke atasmu mempunyai bahagian hak dan sesungguhnya bagi dirimu dan keluargamu ke atasmu mempunyai bahagian hak" Dia berkata: "Sesungguhnya aku mempunyai kekuatan untuk mengerjakan sedemikian" Baginda bersabda: Berpuasalah seperti puasa Nabi Daud ‘Alaihissalam" Dia berkata: "Bagaimana (puasa Nabi Daud ‘alaihissalam)?" Baginda bersabda: "Beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari dan dia tidak lari apabila bertemu musuh (tetap segar dalam menghadapi musuh di medan pertempuran) Dia berkata: "Aku harus bagaimana (dalam hal ini) wahai Nabi Allah?" ‘Atha berkata: "Aku tidak mengetahui bagaimana disebut perihal puasa sepanjang masa". Nabi bersabda sebanyak dua kali: "Tidak dianggap berpuasa sesiapa yang berpuasa sepanjang masa."
(Hadits riwayat Bukhari)
Tetapi bagi sesiapa yang tidak takut akan kemudaratan dan perkara-perkara yang boleh membawa kepada pengabaian hak-hak, tidaklah dihukumkan makruh berpuasa bahkan disunatkan. (Lihat Mugni Al-Muhtaj 1/603 dan Fath Al-Allam 4/165)
PUASA YANG DIHARAMKAN
Puasa yang diharamkan itu ialah:
Puasa pada hari raya Aidilfitri, Aidiladha dan hari-hari Tasyriq
Adalah diharamkan berpuasa pada hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha dan pada hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata:
Maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah berpuasa dua hari iaitu hari raya Adha dan hari raya fitri."
(Hadits riwayat Muslim)
Manakala daripada Nubaisyah Al-Hadzali berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: "Hari-hari Tasyriq adalah hari-hari makan dan minum (bukan hari berpuasa)."
(Hadits riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment