Adalah makruh berpuasa pada hari Jumaat satu satunya sahaja tanpa di sambung sebelum atau sesudahnya dengan puasa yang lain. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: "Jangan kamu berpuasa pada hari Jumaat sahaja."
(Hadits
riwayat Ahmad)
Tetapi jika digabungkan puasa hari jumaat itu
dengan satu hari puasa yang lain sama ada di sebelumnya atau sesudahnya, maka tidaklah
dihukumkan makruh. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu
berkata, aku mendengar Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam bersabda :Maksudnya: "Jangan berpuasa salah seorang daripada kamu pada hari Jumaat melainkan (dia berpuasa) sehari sebelumnya atau selepasnya."
(Hadits
riwayat Bukhari)
Adapun dihukumkan makruh hanya berpuasa sehari
semata-mata pada hari Sabtu kerana hari itu adalah hari yang diagungkan oleh
orang-orang Yahudi. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Busr daripada saudara
perempuannya sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:Maksudnya: "Jangan kamu berpuasa pada hari Sabtu melainkan apa yang telah difardhukan Allah ke atas kamu. Jika seorang daripada kamu tidak mendapati (pada hari itu apa-apa makanan) melainkan satu kulit anggur atau ranting pokok, maka hendaklah dia memamahnya. (supaya kamu tidak dinamakan berpuasa pada hari itu)"
(Hadits
riwayat Tirmidzi)
Maka oleh kerana itu juga dimakruhkan hanya
berpuasa sehari semata-mata pada hari Ahad kerana hari itu adalah hari yang
diagungkan oleh orang-orang Nasrani. Diriwayatkan oleh An-Nasa‘i bahawa
hari-hari yang paling banyak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan
puasa ialah hari Sabtu dan Ahad (dengan bergabung), dan baginda bersabda:Maksudnya: "Sesungguhnya Sabtu dan Ahad adalah dua hari raya bagi orang-orang musyrik dan aku suka supaya aku menyalahi mereka." (Lihat Mughni Al-Muhtaj 1/603 dan Tuhfah Al-Muhtaj 3/458)
Jika dilakukan puasa dua hari tersebut (Sabtu dan Ahad) bersama-sama atau didahului puasa hari Sabtu itu dengan berpuasa pada hari Jumaat atau disambung puasa hari Ahad itu dengan berpuasa pada hari Isnin, maka tidaklah dihukumkan makruh kerana sedemikian itu tidak diagungkan oleh mana-mana kaum.
Dihukumkan makruh berpuasa sehari semata-mata pada tiga hari tersebut (Jumaat, Sabtu dan Ahad) apabila tidak ada sebab lain yang dianjurkan untuk berpuasa. Apabila ada sebab lain yang menganjurkan untuk berpuasa seperti bertepatan hari tersebut dengan puasa hari Arafah, ‘Asyura’ atau hari tersebut bertepatan dengan puasa orang yang melakukan puasa Nabi Daud (berpuasa sehari dan berbuka sehari) atau ia melakukan puasa pada hari tersebut kerana puasa qadha atau nazar, tidaklah dihukumkan makruh. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata:
Maksudnya: "Jangan kamu mengkhususkan pada malam Jumaat untuk mendirikan sembahyang (malam) daripada malam-malam yang lain, dan jangan kamu mengkhususkan pada hari Jumaat untuk berpuasa daripada hari-hari yang lain kecuali satu puasa yang (kebetulan bertepatan) seorang di antara kamu berpuasa (pada hari itu)." (Lihat Mughni Al-Muhtaj 1/603, Fath Al-‘Allam 4/165 dan Syarh Shahih Muslim 4274)
(Hadits
riwayat Muslim)
Assalamu'alaikum w.b.t.
ReplyDeleteboleh tanya, klu puasa sekali pada hari khamis, jumaat, sabtu dan ahad sekaligus boleh tak? sbbnya nk melakukan puasa qadha. syukran =)