Followers

Wednesday, 11 July 2012

Kuasa Usrah


Usrah?
Pada firasat saya, saya yakin dan percaya bahawa saudara-saudari sudah sebati dengan kalimah ‘usrah’ ini, baik yang menyertai usrah ataupun tidak. Tapi saya juga percaya bahawa pemahaman saudara-saudari terhadap hakikat ‘usrah’ yang sebenar adalah berbeza-beza, termasuklah saya sendiri. Dalam kalangan ikhwah dan akhawat yang sudah lama dalam lapangan dakwah dan tarbiyah sendiripun mereka mempunyai sudut pandang yang berbeza mengenai erti ‘usrah’, apatah lagi bagi mereka yang masih baru, dan jauh lagi bagi mereka yang tidak bersama dalam usrah ini.
Dalam konteks dakwah dan tarbiyah, usrah merupakan wasilah (medium) utama dalam banyak-banyak wasilah tarbiyah, yang terkandungnya dalam sistem usrah silibus-silibus dan juga metod-metod tarbiyah yang tertentu.
Fungsi usrah
Apa yang ingin saya bicarakan di sini adalah, kurang atau salah faham terhadap hakikat sistem usrah itu sendiri akan memberi kesan kepada kita, khususnya ahli-ahlinya dalam memahami fungsi usrah dan jelas terhadap hala tuju usrah, iaitu ke mana matlamat yang hendak dituju. Bahkan, ia juga memberi efek kepada D&T (dakwah dan tarbiyah) yang kita mahu laksanakan.
Untuk memahami fungsi usrah, kita kembali kepada penggunaan kalimah ‘usrah’. Dalam D&T, kumpulan kecil yang kita namakan ia sebagai usrah, kenapa ia dipanggil ‘usrah’? Kenapa tidak dipanggil gig, band, study group atau dengan nama-nama lain?
Perkataan ‘usrah’ berasal dari kalimah Arab “الأسرة” yang bermaksud keluarga. Berdasarkan pemahaman bahasa Melayu, kita dapat fahami keluarga merujuk kepada kaum, saudara-mara, kaum kerabat, sanak-saudara ataupun juga disebut sebagai famili.
Berdasarkan sirah, murabbuna Hassan Al-Banna yang memperkenalkan sistem usrah dalam usaha memahami Islam dan mengembalikan umat Islam ke tempat yang sepatutnya, menggunakan kalimah ‘usrah’ merujuk kepada
kumpulan kecil tersebut kerana beliau mendapati umat Islam, institusi kekeluargaan terutamanya (pada zaman itu), tidak berdaya untuk melahirkan, mendidik dan membentuk anak-anak sebagai generasi yang bukan sahaja akan menjadi pemimpin kepada umat Islam, bahkan juga pemimpin kepada dunia.
Ya, ia dinamakan ‘usrah’ kerana keluarga Muslim pada zaman ini tidak berfungsi lagi sebagai mana yang sepatutnya. Anak-anak Islam yang dilahirkan, sepatutnya dibesarkan untuk menjadi pelapis kepada pemimpin yang sedia ada, dan juga sebagai penyebar agama Islam ke seluruh dunia. Anak-anak ini dibiasakan hidup susah, supaya kuat fizikal dan mental hidup berdikari pada masa hadapan. Anak-anak ini sebelum tidurnya selalu diceritakan kisah para rasul dan nabi, supaya jiwa dan semangatnya selalu dekat kepada manusia agung pilihan Allah tersebut. Bukan seperti pada hari ini, anak-anak Islam bukan lagi singa bagi musuh-musuh, tetapi menjadi seperti keldai pula. Sudahlah pemalas, menjadi beban kepada agama pula.
Ibu Muhammad Al-Fateh
Antara rahsia Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya menakluk Kota Konstantinopel (sekarang Istanbul) adalah tarbiyah beliau dari kecil yang dimulakan oleh ibunya.
Diceritakan bahawa, semenjak Muhammad Al-Fateh lahir, ibunya akan membawa Muhammad Al-Fateh pergi keluar dari istana dan berdiri di sebuah tebing, di mana tebing itu menghadap ke arah Konstantinopel. Ibunya akan berkata:
“Wahai anakku, di sana terdapat kota Konstantinopel. Dan Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa Konstantinopel itu akan ditawan oleh tentera Islam. Rajanya (penakluknya) adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Ketahuilah anakku, engkaulah orangnya.”
Setiap hari, tanpa bosan, ibunya berbuat begitu. Dari dalam gendongan, hinggalah Muhammad Al-Fateh boleh berjalan. Dia akan membawa Muhammad Al-Fateh ke tebing itu dan menunjuk ke arah Konstantinopel kemudian membacakan hadis Rasulullah s.a.w. tadi berulang-ulang kali.
Hadis tersebut bukanlah untuk anaknya, namun tindakannya itu sebenarnya untuk memotivasikan anaknya agar menjadi lelaki yang mulia itu. Hasilnya, lahirlah seorang sultan, yang pada umurnya sangat muda, berjaya menawan Konstantinopel dalam masa sebulan lebih, sedangkan kaum muslimin telahpun berusaha selama 800 tahun sebelumnya dan tidak berjaya. Subhanallah!
Usrah KITA
Usrah KITA bukan majlis ilmu, murabbi hanya memberi, mutarabbi menadah dan mengiyakan.
Usrah KITA bukan tempat untuk menjadi muslim yang baik sendiri-sendiri. Kalau mahu jadi muslim yang baik sendiri-sendiri, baik tidak perlu join usrah. Cukuplah sekadar rajin menunaikan solat, membaca Al-Quran dan berzikir.
Usrah yang muntij (berkesan) bukan hanya usrah yang ada peningkatan ilmu dan kefahaman, tetapi juga mantap ukhuwah antara murabbi dan mutarabbinya, meningkatnya iltizam dengan amal serta akhlak islamiyah, ahli-ahlinya saling menasihati dan menziarahi, dan meningkatnya amal dakwah dan islah.
Usrah yang sepatutnya KITA fahami dan punya ialah usrah yang melahirkan individu muslim yang boleh digerakkan, bergerak dan menggerakkan. Tarbiyah kita sepatutnya menjadikan kita sebagai seorang ‘full-timer muslim’, bukannya muslim soleh pada waktu tertentu sahaja. Kerana itulah adanya ungkapan daripada murabbi kita mengatakan, “usrah itu dimulakan dengan kafarah al-majlis dan surah Al-’Asr, diakhiri dengan surah Al-Fatihah.” 
Maknanya ikhwah dan akhawat sekalian, pertemuan mingguan kita itu sebenarnya hanya tempat untuk berteori, manakala di luar pertemuan kita itulah usrah yang sebenar, medan sebenar amal kita. Mutabaah amal dan muwasofat tarbiyah kita itu pula merupakan antara seruan yang menuntut kita beramal, yang mentarbiyah diri bahawa amal adalah keperluan bukannya beban.

Kuasa usrah dan matlamat besar
Berdasarkan kajian sirah, kita akan mendapati betapa hebatnya kuasa usrah ini. Terbukti apabila Islam yang pada awalnya bermula secara senyap-senyap dengan ‘usrah’ Nabi s.a.w. bersama beberapa orang sahaja, dari rumah ke rumah (termasuklah rumah Arqam bin Abi Arqam), kemudiannya makin bertambah dari tahun ke tahun bilangan penganutnya, menjadi tulang belakang kepada penubuhan negara Islam Madinah dan pembukaan kota Mekah, dan seterusnya kepada penguasaan 2/3 dunia oleh umat Islam walaupun selepas kewafatan baginda.
Namun hakikat masa kini, masih ada antara kita yang masih meragui bagaimana mungkin usrah yang kecil bilangan ahlinya ini dapat mencapai cita-cita besar iaitu Islam mentadbir dunia (ustaziyatul ‘alam)? Dia tidak jelas bagaimana silibus-silibus, metod-metod ataupun muwasofat tarbiyah yang dilalui dalam usrah dapat melahirkan individu muslim yang power, kemudiannya menaiki tangga-tangga maratib ‘amal sehingga mencapai kepada khilafah islamiayah atau ustaziyatul ‘alam?
depan. Maka jadikanlah setiap apa yang dilalui dalam usrah itu sebagai perkara yang besar dan penting. Untuk mencapai matlamat yang besar, maka haruslah juga kita meletakkan usrah sebagai kuasa besar, bukan sahaja dalam membentuk kita sebagai seorang individu muslim, tetapi juga berperanan dalam tahapan-tahapan amal islami kita yang lain.
Jelaskan fikrah dan teguhkan iman terhadap usrah. Imanilah bahawa usrah akan pasti membawa kita kepada ustaziyatul ‘alam! Sungguh, sunnatullah Allah akan sentiasa berulang, tidak berubah-ubah. Dengan cara pentarbiyahan secara interaktif dan fokus melalui usrahlah Nabi dan para sahabat berjaya memimpin umat manusia sedunia dengan Islam. Kalau kita beriltizam dan beristiqamah dengan keimanan kita kepada usrah ini, tidak mustahil umat Islam akan menjadi ustaz kepada dunia, baik kemenangan Islam saat itu berlaku di hadapan mata kita ataupun tidak.
Allahu akbar!


2 comments:

  1. banyak isinya tuan,..tapi samar2 ditengok...kasi ubah dulu kesian warna background..gelap sangat.. :D

    ReplyDelete
  2. bnyk isi tapi samar2..mcmna tu tuan? ya.. nnt d ubah backgroundnya.. line slow skrg.. nda dapat mo edit...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...