Followers

Wednesday 15 August 2012

Maqasid Syariah

Penetapan hukum syariah berdasarkan maksud dan tujuan syariah, yakni berdasarkan pertimbangan kemaslahatan. Penekanannya terletak pada upaya menyingkap dan menjelaskan hukum yang dihadapi melalui pertimbangan maslahah. Perubahan hukum yang berlaku berdasarkan perubahan zaman dan tempat adalah untuk menjamin syariah dapat mendatangkan kemaslahatan kepada manusia. Setiap perundangan hukum mestilah bertujuan untuk melindungi kepentingan agama, nyawa, akal, keturunan, dan juga harta.


MEMELIHARA AGAMA
Menjaga agama merupakan perkara utama yang ditegaskan menurut susunan maqasid syar’iyah. Setiap individu diwajibkan menyebarkan agama dan menjaganya daripada ancaman musuh. Firman Allah yang bermaksud:
            “Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”. (Surah al-Baqarah: ayat 216)
Firman Allah lagi:
            “Barang siapa murtad di antara kamu, dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itu sia-sia amalnya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni  neraka, mereka kekal di dalamnya”. (Surah al-Baqarah: ayat 217)
Islam datang untuk membebaskan minda dan kepercayaan manusia daripada belenggu khurafat, tahyul, kemunafikan dan kesyirikan. Islam mengajak manusia beriman kepada Tuhan dan (rukun iman) serta menjauhi anasir-anasir syirik. Menjaga agama Islam perlu didahului dengan kita mengetahui komponen agama yang terdiri daripada tiga unsur penting iaitu Iman , Islam dan Ehsan. Penghayatan iman yang sebenar-benarnya dengan ilmu yang mantap akan membentuk watak. Penghayatan Islam dengan amal akan membentuk kesatuan hubungan dengan Allah swt manakala ehsan dihayati akan membentuk kesatuan sesama manusia.
Menjaga agama dilakukan dengan:
  1. Membina asas aqidah yang benar dan kuat, serta menjauhi perkara yang melemah dan merosakkannya.
  2. Memerhati, berfikir dan mengambil iktibar, serta menguasai unsur-unsur aqidah yang dinyatakan oleh al-Quran dan Sunnah.
  3. Menjauhi dosa-dosa besar dalam aqidah seperti syirik.
  4. Menegakkan syiar ibadat-ibadat wajib.
  5. Menghayati dan beramal dengan nilai-nilai atau akhlak Islam seperti jujur, ikhlas, amanah, dan mengerjakan amal soleh.

      MEMELIHARA NYAWA
Wujudnya syariat Islam juga bertujuan untuk menjamin keselamatan nyawa dan anggota tubuh badan manusia. Oleh itu, setiap individu diwajibkan untuk menjaga keselamatan diri masing-masing daripada segala jenis ancaman. Islam melarang keras perbuatan-perbuatan yang boleh mengancam keselamatan nyawa diri sendiri mahupun orang lain. Islam memuliakan nyawa seseorang dan menganggap bahawa menghilangkan nyawa seseorang adalah kejahatan besar yang sama dengan menghilangkan seluruh nyawa manusia. Firman Allah:
            “ Barang siapa yang membunuh seseorang, bukan kerana orang itu membunuh orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka sekan-akan dia telah membunuh semua manusia. Barang siapa memelihara kehidupan seorang manusia,      maka seakan-akan dia telah memelihara kehidupan semua manusia”.(Surah al- Ma’idah:ayat 32)
Seperti yang kita ketahui, Islam menjaga jiwa seseorang dengan memberikan ancaman hukuman qisas bagi seorang yang menghilangkan nyawa seseorang. Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas. Firman Allah:
            “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu (melaksanakan) qisas berkenaan dengan orang yang dibunuh. (Surah al-Baqarah: ayat 178)
Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain atau melakukannya wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu juga mengikut jenis anggota yang dicederakan atau dilukakan. Sebagai contohnya:
1)      Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa)
2)      Melukakan dibalas dengan melukakan
3)      Mencederakan dibalas dengan mencederakan
Hal ini juga ada dinyatakan di dalam al-Quran. Firman Allah yang bermaksud:
            “Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan    hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang- orang yang zalim”. (Surah al-Mai’dah: ayat 45)
Selain itu, Islam juga melarang seseorang yang tidak menghargai nyawanya. Contohnya, perbuatan membunuh diri. Allah telah berfirman yang bermaksud:
            “Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya, Allah Maha Penyayang kepadamu”. (Surah an-Nisa: ayat 29)
Walau apapun alasan dan caranya, membunuh diri hukumnya haram dan perbuatan ini tergolong dalam perbuatan syirik. Orang yang melakukan syirik tidah akan diampuni dosanya oleh Allah, bahkan akan kekal di seksa dalam api neraka. Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya barang siapa mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka sungguh, Allah mengharamkan syurga baginya, dan tempatnya ialah neraka”. (Surah al-Ma’dah: ayat 72)
     MEMELIHARA AKAL
Maqasid syari’yah juga menekankan umat Islam untuk menjaga dan memelihara akal yang dikurniakan Allah dengan sebaik-baiknya dan jauh daripada sebarang kerosakan yang memudaratkan. Sebagai umat yang terpilih, kita seharusnya bersyukur dengan kurniaan-Nya yang tidak ternilai dan tidak pula ada pada makhluk-makhluk lain selain manusia. Akal memainkan peranan penting dalam sesebuah kehidupan lantaran besarnya fungsi akal dalam menentukan dan mencorakkan  arah tuju hidup setiap individu. Individu yang berakal  layak diberikan taklif iaitu tanggungjawab terhadap hukum syarak dalam Islam. Anugerah akal yang diberikan oleh Allah adalah untuk manfaat manusia juga supaya kita berfikir, memahami dan menghayati apa jua ciptaanNya samada  di langit dan di bumi.
Terdapat pelbagai cara untuk memelihara akal supaya seseorang individu jauh daripada anasir-anasir negatif yang memudaratkan. Cara berfikir seharusnya selaras dengan tuntutan Islam yang menyuruh umatnya agar menghayati dan berfikir akan perkara yang baik dan sentiasa berfikiran positif. Selain itu juga, kita juga seharusnya  pandai mengawal pemikiran dengan memikirkan sesuatu yang bermanfaat sebagai renungan dan dijadikan teladan dalam melayari sebuah kehidupan dengan penuh ketenangan. Sebagai contoh apabila seseorang memikirkan tentang kebesaran ciptaan Allah, hati akan menjadi tenang dan hal ini seterusnya mewujudkan suasana yang damai dalam kehidupan.
Kita hendaklah menuntut ilmu supaya akal kita berfungsi dengan elok. Dalam pada itu juga, kita digalakkan untuk menuntut ilmu yang memberikan  kebaikan dan menyumbang kepada ketaatan kepada Allah. Bekalan ilmu yang diperoleh membolehkan seseorang membezakan antara perkara yang baik atau buruk. Hal ini demikian menjurus pula kepada tingkah laku yang tertib  dan jauh daripada perbuatan maksiat yang dimurkai Allah.
Kesihatan akal berkait rapat dengan gaya pemakanan yang diambil oleh individu dari hari ke hari. Makanan yang halal lagi berkhasiat amat digalakkan kerana hal ini memberikan kesan positif kepada perkembangan dan pemikiran seseorang. Perbuatan menjauhi makanan yang tidak sesuai untuk akal seharusnya dijauhi kerana dikhuatiri dapat merosakkan akal. Dalam surah al-Mai’dah ayat 90, Allah telah berfirman :
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung”.
Dalam surah ini Allah melarang keras hambaNya daripada minum arak kerana ternyata arak memberikan keburukan kepada akal. Seseorang yang minum arak lebih berpotensi untuk melakukan lebih banyak kezaliman  atau kemungkaran. Hal ini demikian berlaku apabila akal tidak dapat berfikir dengan waras samada perkara itu baik atau buruk. Hadis Ibnu Umar r.a katanya; Rasulullah s.a.w bersabda:
              “Setiap minuman yang memabukkan adalah arak dan setiap yang memabukkan adalah haram. Sesiapa yang meminum arak di dunia lalu meninggal dunia dalam keadaan dia    masih tetap meminumnya dan tidak bertaubat, maka dia tidak akan dapat meminumnya di akhirat kelak (di syurga)”.
Hukuman hudud meminum arak ialah sebat, tetapi jumlahnya terdapat dua riwayat; dalam satu hadis diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah telah memukul (sebat) seorang lelaki yang meminum arak dengan dua pelepah tamar sebanyak empat puluh kali dan begitu juga dilakukan oleh Abu Bakar tetapi pada masa Saidina Umar, beliau berbincang dengan sahabat-sahabat dan berkata seorang sahabat, Abdul Rahman seringan-ringan hudud ialah lapan puluh kali sebatan (Muslim, Sahih : hlmn. 214) dan Umar menurutnya.
      MEMELIHARA KETURUNAN
Kemuliaan dan keperibadian seseorang amat penting dalam kehidupan setiap individu. Hal ini berkait rapat dengan kehormatan dan maruah diri. Malah, Islam sendiri dibina di atas akhlak yang mulia. Islam tegas dalam memuliakan kehormatan dan garis keturunan. Kemuliaan keturunan dipelihara dengan mengharamkan penganiayaan kepada kehormatan. Maka, syariat Islam telah melarang seseorang itu daripada mendekati perbuatan zina. Firman Allah:
            “Dan janganlah kamu mendekati zina;(zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk.” (al-Isra’: ayat 32)
Bagi mereka para pelaku zina diancam hukuman yang berat, kerana merosak kehormatan seseorang. Pezina yang belum berkahwin dikenakan hukuman sebatan sebanyak 100 kali sebatan. Firman Allah yang bermaksud:
            “Pezina perempuan dan pezina laki-laki, deralah masing-masing dari keduanya seratus kali, dan janganlah rasa belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu     untuk (menjalankan) agama (hukum) Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian; dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sebahagian orang-orang yang beriman”. (Surah an-Nur: ayat 2)
Lebih khusus, pezina yang sudah berkahwin diancam hukuman mati (rejam) kerana merosakkan kehormatan rumah tangga sekaligus mencampur adukkan nasab. “Di riwayatkan daripada Imam Muslim, dari Abi Hurairah berkata, seorang lelaki muslim telah datang berjumpa Rasulullah s.a.w. yang pada ketika itu sedang berada di masjid dan dia memanggil Rasulullah seraya berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah melakukan zina”. Dan dia mengulangi kata-kata itu sebanyak empat kali. Kemudian dia membawa empat orang saksi. Rasulullah s.a.w. bertanya, “Adakah engkau hilang akal ketika engkau berzina”? Dijawabnya: “Tidak”. Rasulullah bertanya lagi: “Adakah engkau telah berkahwin”? lelaki itu pun menjawab, “Ya”. Maka Rasulullah mengarahkan para sahabat pada ketika itu; “Bawalah dia dan rejamlah dia”.
Qazar, iaitu penuduh zina juga dikenakan hukuman 80 kali sebatan. Firman Allah:
            “Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik (berzina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka delapan puluh kali, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka untuk selama-lamanya. Mereka itulah orang-orang yang fasik,” (Surah an-Nur: ayat 4).
Contohnya dalam cerita Saidatina Aisyah yang dituduh oleh Abdullah bin Ubai berzina dengan Saidina Safwan ( sahabat Nabi Muhammad). Dan Abdullah Bin Ubai telah dikenakan hukuman sebatan sebanyak 80 kali.
Kesimpulannya, tegahan dan larangan Allah  dalam keturunan ini mempunyai tujuan yang satu iaitu menghindarkan manusia daripada terjatuh ke lembah kehinaan.
      MEMELIHARA HARTA
Allah swt sebenarnya telah menyediakan segala‐galanya di alam ini untuk kemudahan manusia mentadbir dan memakmurkan alam ini yang antaranya berupa harta. Manusia disuruh supaya berusaha mendapatkannya dan menjaganya agar dibelanjakan ke arah memakmurkan kehidupan ini dalam acuan yang dikehendaki Allah swt. Firman Allah swt dalam Surah Luqman ayat 20 yang bermaksud:
            “Tidakkah kamu memerhatikan bahawa Allah telah menundukkan apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi untuk (kepentingan) mu dan menyempurnakan nikmat-Nya untukmu zahir dan batin”.
Kehidupan yang sempurna bagi seseorang manusia juga amat berkait rapat dengan pemilikan dan penguasaan terhadap harta. Islam mengakui kepemilikan individu atas harta dan menghargainya. Maka, Islam melarang memperoleh harta dari yang lainnya kecuali dengan cara dan transaksi yang sah, baik, dan saling meredhai. Allah telah berfirman:
            “Dan janganlah kamu memakan harta di antara kamu dengan jalan yang batil”.  (Surah al-Baqarah: ayat 188)
Sebab itu disyariatkan akad-akad yang membolehkan perpindahan harta dan hak milik dengan cara berniaga, bekerja dan mewarisi. Bagi memastikan harta diperoleh dan diuruskan dengan baik, maka dijelaskan:
            1. Panduan mencari rezeki atau harta yang halal
            2. Cara menafkahkan harta pada jalan-jalan yang disyariatkan
            3. Hak-hak Allah terhadap harta yang perlu ditunaikan
            4. Larangan makan harta secara batil
Syariah Islam telah menggariskan peraturan, hukum dan undang-undang tersendiri dalam soal kehartaan. Hal ini dibincangkan secara meluas dalam disiplin dan bidangnya yang tersendiri yang dikenali sebagai FIQH MUAMALAT. Kalimah “Fiqh” berasal daripada kalimah bahasa Arab yang membawa maksud kefahaman. Dari segi istilah pula, kalimah ini bermaksud ilmu berkaitan hukum-hukum amali syariat, yang dikeluarkan daripada dalil-dalilnya yang “tafsil”. Muamalat pada pengertian umum bermaksud segala hukum yang mengatur hubungan manusia dimuka bumi, dan secara khusus merujuk kepada urusan yang berkaitan dengan harta. Maka istilah Fiqh Muamalat secara khusus merujuk kepada ilmu berkaitan hukum-hukum syariat yang mengatur urusan manusia berkaitan harta.
Syariah Islam menegaskan mengenai kepentingan untuk mencari  kekayaan daripada nikmat dan anugerah Allah swt. Pemilikan harta hendaklah diusahakan melalui cara dan pendekatan yang diharuskan. Misalnya syariah Islam telah mengharuskan jual beli dan mengharamkan riba.  Dalam usaha pemilikan harta, selain daripada riba, syariah Islam juga telah mengharamkan perjudian, rasuah dan pengurangan atau penipuan dalam timbangan. Firman Allah yang bermaksud:
            “Kemudian kamu benar-benar akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (yang megah di dunia itu)”. (Surah at-Takasur: ayat 8 )
Firman Allah lagi:
            “Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah setan. Sungguh, setan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah: ayat 168)
Syariah Islam turut menetapkan cara dan kaedah tersendiri bagi membelanjakan harta seperti mewajibkan zakat kepada harta-harta tertentu dan amat menggalakkan sedekah serta pemberian hadiah dalam keadaan tertentu. Islam sangat menggalakkan supaya umat Islam membudayakan derma, sedekah, hibah, wakaf dan sebagainya untuk berkongsi nikmat harta yang telah Allah swt kurniakan kepada mereka. Harta tersebut boleh dimanfaatkan oleh golongan yang tidak berkemampuan untuk membina hidup mereka.
Bahkan, Allah swt mewajibkan umat Islam yang telah cukup syarat-syaratnya untuk membayar zakat kepada asnaf-asnaf. Objektif pensyariatannya dinyatakan dalam firman Allah dalam Surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud:
            “…….agar harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu.”
Harta daripada perspektif Islam adalah milik Allah dan manusia menjadi khalifah untuk mengurusnya dan ditugaskan memakmurkan bumi. Justeru itu, bekerja diwajibkan dengan tujuan mendapatkan rezeki dan menjalankan tugas memakmurkan bumi.
KESIMPULAN
            Syariat Islam tidak didatangkan melainkan untuk menjaga atau menjamin kelima-lima perkara di atas dalam kehidupan manusia. Kelima-lima perkara tersebut iaitu agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta dianggap sebagai keperluan yang bersifat asasi dalam diri setiap individu yang harus dipatuhi. Bagi menentukan bahawa kehidupan semua individu seimbang, syariah Islam telah menetapkan semua keperluan ini diberi penarafan melalui maslahah Dharuriyyat, maslahah Hajiyat, dan juga maslahah Tahsiniyat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...